expr:class='"loading" + data:blog.mobileClass'>

Rabu, 25 Mac 2020

COVID-19 : KEKALKAN DIRIMU DI RUMAH

COVID-19 : KEKALKAN DIRIMU DI RUMAH

• Kuarantinkan Diri Anda Di Rumah

Tahun 2020 seluruh DUNIA dikejutkan dengan serangan penyakit Corona Virus Disease 2019 (Covid-19) yang setiap hari semakin merebak dengan cepat. Menurut pakar bahasa arab dan pakar kesihatan, al-waba’ (wabak) adalah penyakit yang menular pada suatu wilayah, boleh penyebarannya cepat dan meluas. Sedangkan tha’un adalah wabak yang menyebar lebih luas dan menimbulkan kematian. Inilah pengertian tha’un menurut pakar bahasa dan ulama feqah.

World Health Organization (WHO) menyatakan Covid-19 merupakan suatu penyakit PANDEMIK, lebih mudah ia disebut dengan wabak yang tersebar luas di serata dunia.

Apa perlu buat sekiranya wabak Covid-19 ini semakin menular berterusan? Mari kita baca hadis di bawah ini.

Saidatina ‘Aisyah (57 H) رضي الله تعالى عنها menceritakan, beliau bertanya kepada Rasulullah ﷺ berkenaan penyakit Tha’un. Rasulullah menjelaskan:

أَنَّهُ كَانَ عَذَابًا يَبْعَثُهُ اللَّهُ عَلَى مَنْ يَشَاءُ،

“Tha’un adalah hukuman Allah kepada sesiapa sahaja yang Dia kehendaki.

فَجَعَلَهُ اللَّهُ رَحْمَةً لِلْمُؤْمِنِينَ،

Namun penyakit itu juga adalah rahmat daripada Allah untuk hamba-Nya yang beriman.

فَلَيْسَ مِنْ عَبْدٍ يَقَعُ الطَّاعُونُ، فَيَمْكُثُ فِي بَلَدِهِ صَابِرًا،

Seseorang yang dijangkiti tha’un, kemudian masih menetap di kampungnya/negerinya, dan dia menerimanya dengan redha dan sabar,

يَعْلَمُ أَنَّهُ لَنْ يُصِيبَهُ إِلَّا مَا كَتَبَ اللَّهُ لَهُ، إِلَّا كَانَ لَهُ مِثْلُ أَجْرِ الشَّهِيدِ

serta yakin penyakit tha’un itu tidak akan menghinggapinya tanpa izin daripada Allah, orang ini diberi pahala seperti orang yang mati syahid.”

HR. Al-Bukhari (5734), Imam Ahmad (26139) dalam musnadnya, al-Nasa’i (7485) dalam sunan al-kubra dan lain-lain.

Keterangan Hadis :

Ketahuilah bahawa tha’un merupakan azab dan seksaan yang ditimpakan kepada umat-umat terdahulu (umat sebelum umat Nabi Muhammad ﷺ).
Di antara rahmat Allah Subhanahu wa Ta’ala kepada umat Islam (kaum Muslimin) dan termasuk kebaikan yang dikhususkan untuk mereka adalah tha’un yang dahulu merupakan azab bagi kaum lain kini dijadikan sebagai rahmat bagi mereka.

Ganjaran pahala atas untuk kesedihan, kedukaan dan kesakitan yang menimpa seseorang hamba Allah sebagaimana diisyaratkan oleh hadis yang dikhususkan kepada orang-orang yang beriman sahaja.

Pahala syahid tidak hanya diperuntukkan kepada orang yang mati dalam peperangan (berjihad fisabilillah), tetapi ia berlaku untuk mereka yang meninggal dunia dijangkiti wabak tha’un. Namun, darjat ini diraih selepas orang itu menjalaninya dengan penuh kesabaran lagi mengharapkan pahala dari Allah Subhanahu wa Ta’ala, maka baginya pahala orang yang mati syahid.

Jika tha’un berjangkit di suatu kawasan/daerah/negeri maka sewajarnya mereka yang berada di kawasan tersebut tidak boleh keluar. Namun, seharusnya ia tetap tinggal di sana dengan mengharapkan pahala dari Allah Subhanahu wa Ta’ala serta redha terhadap ketentuan dan takdir-Nya.

Berkata al-Hafiz Ibnu Hajar al-‘Asqalani (852 H) rahimahullah :

“Berdasarkan sabdaan Rasulullah ﷺ; Sesiapa sahaja yang memiliki segala sifat tersebut maka mereka akan memperolehi pahala mati syahid, walaupun tidak menemui kematian akibat daripada wabak itu.”

[Fath al-Bari, 10/194]

• Mereka Yang Mati Kerana Covid-19 Dikategori Sebagai Mati Syahid ?

Saidina Abu Hurairah (57 H) رضي الله تعالى عنه berkata, Rasulullah ﷺ bersabda:

الشُّهَدَاءُ خَمْسَةٌ الْمَطْعُونُ وَالْمَبْطُونُ وَالْغَرِقُ وَصَاحِبُ الْهَدْمِ وَالشَّهِيدُ فِي سَبِيلِ اللَّهِ عَزَّ وَجَلَّ

“Ada 5 golongan orang yang dikategorikan sebagai mati syahid. (i) Orang yang mati disebabkan sakit tha’un. (ii) Orang yang mati disebabkan penyakit perut. (iii) Orang yang mati kerana lemas dalam air. (iv) Orang yang mati dihempap sesuatu. (v) Orang yang mati terkorban di jalan Allah Azza wa Jalla.”

HR. Al-Bukhari (653) Muslim (1914)

Dalam riwayat yang lain menyebutkan 7 kategori yang mati syahid, daripada Saidina Jabir bin ‘Atik (61 H) رضي الله تعالى عنه , dari Nabi ﷺ , baginda bersabda:

الشَّهَادَةُ سَبْعٌ سِوَى الْقَتْلِ فِي سَبِيلِ اللَّهِ : الْمَطْعُونُ شَهِيدٌ، وَالْغَرِقُ شَهِيدٌ، وَصَاحِبُ ذَاتِ الْجَنْبِ شَهِيدٌ، وَالْمَبْطُونُ شَهِيدٌ، وَصَاحِبُ الْحَرِيقِ شَهِيدٌ، وَالَّذِي يَمُوتُ تَحْتَ الْهَدْمِ
شَهِيدٌ، وَالْمَرْأَةُ تَمُوتُ بِجُمْعٍ شَهِيدَةٌ

“Orang-orang yang mati syahid kecuali mati di jalan Allah Azza wa Jalla itu ada tujuh orang, iaitu (i) Mati kerana tha’un (wabak) adalah syahid; (ii) Mati tenggelam (ketika melakukan musafir dalam ketaatan) adalah syahid; (iii) Yang punya luka pada rusuk lalu mati, matinya adalah syahid; (iv) Mati kerana penyakit perut adalah syahid; (v) Mati dalam kebakaran adalah syahid; (vi) Mati dihempap sesuatu adalah syahid; dan (viii) Seorang wanita yang meninggal dunia kerana melahirkan (dalam keadaan nifas atau dalam keadaan bayi masih dalam perutnya) adalah syahid.”

HR. Abu Daud (3111), al-Nasa’i (1846), Imam Ahmad (23753) dalam musnadnya dan lain-lain. Hadis ini sahih.

Di antara maksud syahid yang dikatakan oleh Ibnu al-Anbari ialah :

لِأَنَّ اللَّه تَعَالَى وَمَلَائِكَته عَلَيْهِمْ السَّلَام يَشْهَدُونَ لَهُ بِالْجَنَّةِ . فَمَعْنَى شَهِيد مَشْهُود لَهُ

“Kerana Allah Ta’ala dan para malaikatnya عليهم السلام menyaksikan orang tersebut baginya dengan Syurga. Makna syahid di sini ialah disaksikan untuknya.” [Fath al-Bari, 6/42]

Oleh kerana itu, al-Imam al-Nawawi (676 H) rahimahullah menyatakan: “Para ulama mengatakan maksud mereka semua yang mendapat mati syahid bukan kerana terbunuh di jalan Allah adalah sebagai balasan mereka di akhirat dengan mendapat ganjaran pahala seperti orang mati syahid. Adapun di dunia, maka mereka tetap dimandikan dan disolatkan.”

Kemudian beliau menjelaskan lagi, ada 3 kategori orang yang mati syahid iaitu:

1) Orang yang Syahid di Dunia dan Akhirat. Mereka ialah orang-orang yang mati dalam memerangi tentera kafir atau orang-orang kafir. Dan inilah syahid yang paling tinggi kedudukannya di sisi Allah Ta’ala dan jenazah mereka tidak dimandikan dan tidak disolatkan.

2) Orang yang Syahid di Akhirat tanpa hukum-hukum dunia. Mereka ialah orang-orang yang disebutkan dalam hadis tersebut. Mereka tetap dimandikan, disolatkan, tetapi di akhirat mendapatkan pahala syahid.

3) Orang yang Syahid di Dunia sahaja tanpa Akhirat. Mereka inilah yang membuat khianat dalam ghanimah (harta rampasan perang) atau lari dari medan peperangan.”

[Syarh al-Nawawi ‘ala Muslim, 13/63]

Daripada penjelasan Imam Nawawi rahimahullah di atas, sekiranya ada yang MENINGGAL DUNIA kerana Covid-19, maka mereka termasuk dalam golongan syahid yang kedua. Amiin.

Justeru kami pohon kepada para pembaca semua, kekalkan lah diri anda di rumah ketika wabak Covid-19. Hal ini kerana, kaedah kuarantin sudah jelas lagi bersuluh telah disebutkan oleh Nabi Muhammad ﷺ. Bersabarlah dengan ujian Covid-19. Lakukanlah perkara-perkara yang bermanfaat.

Wahai Rakyat Malaysia,

Kami menyeru kepada anda semua BANTULAH Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) sekiranya anda DIJANGKITI COVID-19 supaya DIRAWAT dengan kadar segera, tak usahlah menipu mereka. Taatilah PEMERINTAH yang menyuruh anda semua kekal sahaja di rumah bagi mengelakkan tersebar luasnya jangkitan wabak ini. Yang bekerja dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) ini, mudah-mudahan terselamat dari wabak. Ikut sahaja langkah-langkah yang diterangkan oleh pihak KKM.

Semoga dengan KETAATAN dan KEPATUHAN kita kepada PEMERINTAH, Allah Azza wa Jalla MEMBEBASKAN kita semua daripada WABAK COVID-19 ini. Amiin. Wallahua’lam. Sollu’alannabi.

-MTS-

#Just_say_Alhamdulillah
#Cp
#Sharing is caring

Tiada ulasan:

Catat Ulasan