expr:class='"loading" + data:blog.mobileClass'>

Rabu, 22 Julai 2020

*CARA AJAR SYAHADAH SEBELUM MATI*


*CARA AJAR SYAHADAH SEBELUM MATI*

*SOALAN :*

Apabila seseorang itu hampir mati kita disuruh ajarnya mengucap dua kalimah syahadah.

*Bagaimanakah* caranya dan *adakah* kena ajar dua kalimah sekaligus atau kalimah lailahaillah sahaja?

*JAWAPAN :*

Apabila seorang itu dekat dengan kematian maka sunat atas yang hadir menyuruhnya melafazkan kalimah لا إله إلا الله dengan cara menyebut dengan perlahan dekat dengan telinganya bukan dengan kuat dan jangan disebut berturut-turut tetapi sekali kemudian diam sekejap dan kemudian sekali lagi.

*Diriwayatkan daripada Ibnu Abbas r.a. :*

لقنوا موتاكم لا إله إلا الله، فإنه ليس من مسلم يقولها عند الموت إلا نجته

*Artinya :* “Ajarilah orang yang dekat dengan kematian dari kalangan kamu akan syahadah maka sungguhnya tiada dari orang Islam yang mengucapkannya ketika kematian melainkan syurga.”  *(Riwayat Imam At-Tabarani)*

Maksud kalimah syahadah itu hanyalah kalimah لا إله إلا الله sahaja kerana berdalil dengan hadith di atas dan hadith yang lain.

*Berkata Syeikh Ibnu Hajar :*

الشَّهَادَةَ) أَيْ لَا إلَهَ إلَّا اللَّهُ فَقَطْ

*Artinya* “ Syahadah itu maksudnya ialah kalimah لا إله إلا الله sahaja.” *(Kitab tuhfah Al-Muhtaj)*

Dan jangan berkata kepadanya ‘mengucap’ atau ‘hendaklah kamu ucapkan’ tetapi sebut dekat telinganya akan لا إله إلا الله .

*Berkata Syeikh Abu Al-Husain Al-Imrani :*

والمستحب: أن لا يقول له: قل: لا إله إلا الله، ولكن يقول عنده؛ لأنه ربما ضاق صدره إذا قال له: قل: لا إله إلا الله

*Artinya :* “Dan yang elok itu ialah jangan dikatakan kepadanya : Mengucap atau katalah olehmu akan لا إله إلا الله tetapi terus ucapkan padanya لا إله إلا الله kerana sungguhnya terkadang berat hatinya apabila berkata baginya : Katalah oleh mu لا إله إلا الله.” *(Kitab Al-Bayan Fi Mazhab Al-Imam As-Syafie)*

Hendaklah diajar ia menyebut syahadah itu dengan lemah lembut dan jangan sekali-kali dengan kekerasan atau dipaksa-paksa atasnya.

*Berkata Imam Nawawi :*

ويستحب أن يلقن كلمة الشهادة (5)، ولا يلح الملقن ولا يواجهه بقول: قل: (لا إله إلا الله) بل يذكرها بين يديه ليذكر

*Artinya :* “Dan disunatkan bahawa diajar akan kalimah syahadah dan jangan orang yang mengajarnya itu memaksanya dan dan mengerasinya dengan berkata  ‘ucaplah' atau 'katalah’ tetapi sebut kalimah itu dekatnya supaya dia mengingatinya dan menyebutnya.” *(Kitab Ar-Raudhah)*

Dan jika dia telah berkata لا إله إلا الله maka hendaklah berhenti mengajarnya dan diam segala orang yang hadir di sisinya.

Akan tetapi jika dia menyebut pula akan perkataan yang lain selepas berkata لا إله إلا الله maka hendaklah diulang ajarnya kembali.

*Berkata Syeikh Al-Mahamili :*

فإذا قالها ... لم يلقن إلا أن يتكلم بكلام غيرها

*Artinya :* “Maka apabila dia telah berkata maka jangan lagi di ajarinya melainkan apabila dia telah berkata perkataan yang lain.” *(Kitab Al-Muqni’)*

*Kesimpulan*

Sunat mengajar orang yang dekat dengan kematian akan kalimah لا إله إلا الله .

Hendaklah diajar dengan lemah lembut dan perlahan dekat dengan telinganya.

Jangan berkata kepadanya ‘mengucap’ atau ‘katalah oleh mu’ tetapi hendaklah terus diucapkan kalimah  لا إله إلا الله kepadanya.

Jika dia telah ucapkan لا إله إلا الله maka hendaklah berhenti mengajarnya dan diam sehinggalah kematiannya.

Jika dia menyebut pula perkataan yang lain maka sunat diajarnya semula menyebut kalimah syahadah itu.


*wallahua’lam*



ustaz azhar idrus



▪️

#Just_say_Alhamdulillah
#Sharing_is_caring

Tiada ulasan:

Catat Ulasan