expr:class='"loading" + data:blog.mobileClass'>

Rabu, 29 Julai 2020

HUKUM MENCABUT RUMPUT DI ATAS KUBUR


Hukum mencabut rumput diatas kubur

Sudah menjadi lumrah kebiasaan dari kita bila kita menziarahi kubur, kita akan mencabut rumput diatas kuburan.

Dalam satu pendapat, kita dianjurkan untuk meletakkan dedaunan atau lainnya di atas perkuburan. Dikatakan selamamana  dedaunan tersebut belum kering, ia akan mendoakan mayat yang berada di dalam perkuburan tersebut.

Ulamak khilaf pada hukum mencabut tumbuhan selagimana tumbuhan tersebut belum kering, Ini disebabkan kerana  menncabut sesuatu tumbuhan boleh menghilangkan hak mayat tersebut yang  berupa doa dari tumbuhan tersebut.

Pendapat pertama: Didalam mazhab Syafie mereka mengatakan hukum mencabut rumput/ tumbuhan, mematahkan ranting selagi mana ianya tidak kering adalah haram.

Dalam hal ini sebagaimana dinyatakan dalam kitab Fathul Mu’in berikut;
يسن وضع جريدة خضراء على القبر للاتباع ولأنه يخفف عنه ببركة تسبيحها وقيس بها ما اعتيد من طرح نحو الريحان الرطب ويحرم أخذ شيء منهما ما لم ييبسا لما في أخذ الأولى من تفويت حظ الميت المأثور عنه صلى الله عليه وسلم, وفي الثانية من تفويت حق الميت بارتياح الملائكة النازلين
Maksudnya: Disunatkan meletak pelepah kurma yang masih segar di atas kubur  bagi mengikut sunnah nabi , kerana perbuatan tersebut boleh menyebabkan  mayat akan diringankan dari siksa atas berkat tasbih/zikir pelepah kurma . Manakala hukum mencabutnya adalah haram  selagimana ia belum kering, kerana ia termasuk menghalangi sesuatu mayat  mengambil manfaat dan haknya, berupa diringankan siksanya serta dikunjungi malaikat.

Didalam Tuhfah al Muhtaj juga ada dinyatakan Imam Ibn Hajar al-Haitami berkata : Haram mencabutnya (setelah diletakkan) seperti mana yang telah diperbahaskan (oleh ulama) kerana perbuatan mencabut itu menafikan hak mayat. Namun, jika tumbuhan itu sudah kering, ianya tidak mengapa. Disunatkan untuk meletakkan yang tumbuhan masih kehijauan dan membuang yang sudah kering, secara keseluruhan, kerana melihat kepada kaitan yang disebut oleh baginda saw tentang keringanan azab dengan warna hijau selama mana tidak kering. Tuhfah al-Muhtaj .

Pendapat kedua : Didalam Mazhab Hanafi hukum  mencabut tumbuhan di atas kubur hukumnya makruh sahaja sebagaimana AlKhadimi dalam Bariqah Mahmudiyyah mengatakan :
ويكره قطع الحطب والحشيش من المقبرة فإن كان يابسا فلا بأس به لأنه ما دام رطبا يسبح فيؤنس الميت

Maksudnya: Dimakruhkan  memotong kayu dan rumput kuburan kecuali kalau ianya sudah kering, kerana setiap  tumbuhan membaca tasbih selagi ia masih basah yang mana ianya boleh meringkan mayat tersebut.

 Befitu juga Imam Ibn `Abidin al-Hanafi dalam al-Durr al-Mukhtar mengatakan: “Dimakruhkan juga untuk memotong tumbuhan yang masih segar, dan rerumput, dari perkuburan, kecuali yang sudah kering.”

Kesimpulannya hukum mencabut tumbuhan di atas kubur adalah haram bagi mazhab syafie dan makruh bagi mazhab hanafi. Adapun mencabut tumbuhan yang sudah kering adalah harus bahkan disunatkan untuk diganti dengan tumbuhan yang baru.
Sebenarnya punca perbahasan hukum ini adalah bedasarkan satu hadis yang diriwayatkan oleh  Ibn Abbas R.Anhuma, bahawa Nabi saw bersabda, ketika berjalan melewati dua kubur yang penghuninya sedang diseksa:
إِنَّهُمَا لَيُعَذَّبَانِ، وَمَا يُعَذَّبَانِ فِي كَبِيرٍ، أَمَّا أَحَدُهُمَا فَكَانَ لاَ يَسْتَتِرُ مِنَ البَوْلِ، وَأَمَّا الآخَرُ فَكَانَ يَمْشِي بِالنَّمِيمَةِ
Maksudnya: “Sesungguhnya kedua-duanya sedang diseksa, dan tidaklah keduanya diseksa disebabkan berbuat dosa besar. Yang satu diseksa kerana tidak bersuci setelah kencing sedang yang satunya lagi kerana selalu mengadu domba.”

Kemudian baginda mengambil sebatang dahan kurma yang masih basah daunnya lalu membelahnya menjadi dua bahagian kemudian menancapkannya pada masing-masing kuburan tersebut. Mereka (para sahabat) bertanya: "Kenapa kamu melakukan ini?". Baginda menjawab:
لَعَلَّهُ أَنْ يُخَفَّفَ عَنْهُمَا مَا لَمْ يَيْبَسَا
Maksudnya: “Semoga diringankan (seksaannya) selama batang pohon ini basah”

Dalam hal ini Al-Tibi berkata: “Hikmah pada peletakan dua pelepah itu selama mana kedua-duanya masih lembab bahawa ia akan menghalang azab memiliki kemungkinan bahawa itu tidak diketahui oleh kita seperti bilangan malaikat Zabaniah.” Oleh itu, Al-Khattabi, dan ulama yang mengikutinya, mengingkari perbuatan orang ramai yang meletakkan pelepah tamar di atas kubur kerana mengikut hadis tersebut. Berkata al-Tortusyi: Ini kerana hal demikian hanya khusus dengan keberkatan pada tangan Baginda saw.

Qadhi Iyadh juga berkata: Ini kerana Baginda meletakkan ilat pada menancap kedua-dua pelepah itu di atas kubur berdasarkan perkara yang ghaib, daripada sabda baginda bahawa “kedua-duanya sedang diseksa”.

Apapun yang pasti, tiada khilaf diantara ulamak bahawa jaminan diringankan siksaan kubur adalah bergantung kepada amalan dan diri  seseorang.

Akhukum filLah
Nik Nizam Nasir
Pegawai Dakwah ,
PAJ Bachok

#Sharing_is_caring
#Just_say_Alhamdulillah

Tiada ulasan:

Catat Ulasan