expr:class='"loading" + data:blog.mobileClass'>

Selasa, 17 Mac 2020

𝐈𝐒𝐔 𝐋𝐀𝐑𝐀𝐍𝐆𝐀𝐍 𝐒𝐎𝐋𝐀𝐓 𝐉𝐔𝐌𝐀𝐀𝐓 & 𝐒𝐎𝐋𝐀𝐓 𝐁𝐄𝐑𝐉𝐄𝐌𝐀𝐀𝐇 𝐀𝐊𝐈𝐁𝐀𝐓 𝐏𝐄𝐍𝐔𝐋𝐀𝐑𝐀𝐍 𝐊𝐎𝐑𝐎𝐍𝐎𝐕𝐈𝐑𝐔𝐒


𝐈𝐒𝐔 𝐋𝐀𝐑𝐀𝐍𝐆𝐀𝐍 𝐒𝐎𝐋𝐀𝐓 𝐉𝐔𝐌𝐀𝐀𝐓 & 𝐒𝐎𝐋𝐀𝐓 𝐁𝐄𝐑𝐉𝐄𝐌𝐀𝐀𝐇 𝐀𝐊𝐈𝐁𝐀𝐓 𝐏𝐄𝐍𝐔𝐋𝐀𝐑𝐀𝐍 𝐊𝐎𝐑𝐎𝐍𝐎𝐕𝐈𝐑𝐔𝐒
Oleh Ustaz Idris Sulaiman, 16 Mac 2020
.
.
𝐊𝐄𝐊𝐄𝐋𝐈𝐑𝐔𝐀𝐍 𝐋𝐀𝐑𝐀𝐍𝐆𝐀𝐍 𝐒𝐎𝐋𝐀𝐓 𝐉𝐔𝐌𝐀𝐀𝐓 𝐃𝐀𝐍 𝐉𝐄𝐌𝐀𝐀𝐇 𝐊𝐄𝐑𝐀𝐍𝐀 𝐓𝐈𝐃𝐀𝐊 𝐏𝐄𝐑𝐍𝐀𝐇 𝐅𝐀𝐓𝐖𝐀 𝐒𝐄𝐏𝐀𝐍𝐉𝐀𝐍𝐆 𝐒𝐄𝐉𝐀𝐑𝐀𝐇 𝐈𝐒𝐋𝐀𝐌
.
Fatwa yang dikeluarkan oleh sesetengah badan Agama berkenaan arahan mengunci masjid serta melarang diadakan solat Jumaat dan solat berjemaah telah menimbulkan sedikit sebanyak kekeliruan serta meninggalkan kesan mendalam di hati sanubari umat Islam memandangkan bahawa tidak pernah sebelum ini ada fatwa sedemikian sepanjang sejarah Islam selama lebih 1441 tahun.

Terdapat beberapa kemusykilan berkenaan fatwa ini seperti mana berikut:
.

𝐊𝐄𝐌𝐔𝐒𝐘𝐊𝐈𝐋𝐀𝐍 𝐏𝐄𝐑𝐓𝐀𝐌𝐀 – 𝐓𝐈𝐀𝐃𝐀 𝐏𝐄𝐓𝐔𝐍𝐉𝐔𝐊 𝐃𝐀𝐑𝐈 𝐆𝐄𝐍𝐄𝐀𝐑𝐀𝐒𝐈 𝐒𝐀𝐇𝐀𝐁𝐀𝐓, 𝐓𝐀𝐁𝐈’𝐈𝐍 𝐃𝐀𝐍 𝐓𝐀𝐁𝐈’ 𝐓𝐀𝐁𝐈𝐈𝐍
.
Tiada petunjuk daripada ketiga-tiga generasi awal umat Islam; daripada kalangan Sahabat, Tabi’in dan Tabi’ Tabi’in serta mereka yang datang sesudah mereka daripada kalangan para ulama dan fuqaha (ahli fiqah) bahawa mereka pernah melarang solat Jumaat dan solat berjemaah apabila menularnya wabak taun yang kesannya jauh lebih dahsyat dan tak terbanding dengan virus korona.

Angka kematian dalam kes koronavirus buat masa sekarang tidak lebih daripada 4% daripada keseluruhan jumlah kes.
Jika dibandingkan dengan dahulu, boleh dikatakan angka ini merupakan nisbah mereka yang selamat (yang hidup) dalam beberapa peristiwa wabak taun dalam sejarah Islam dan ada kalanya nisbah kematiannya sampai tiga perempat daripada jumlah mangsa jangkitan. Anas bin Malik r.a. pernah sampai kehilangan 83 orang anaknya akibat taun. Sekalipun demikian, telah sabit bahawa mereka tetap mendirikan solat Jumaat dan solat berjemaah dalam peristiwa-peristiwa tersebut.

Dalam hal ini, prinsip Agama menetapkan bahawa apa sahaja yang tidak dilakukan oleh generasi Salaf ketika mana wujud keperluan dan tidak ada halangan untuk mereka melakukannya, maka ia perlu ditinggalkan.

Bagaimana pula sekiranya keperluannya pada zaman Salaf dahulu jauh lebih dahsyat berbanding pada zaman kemudian, ini menuntut supaya apa yang tidak dilakukan oleh generasi Salaf itu jauh lebih utama untuk ditinggalkan oleh umat Islam yang datang kemudian.
.

𝐊𝐄𝐌𝐔𝐒𝐘𝐊𝐈𝐋𝐀𝐍 𝐊𝐄𝐃𝐔𝐀 – 𝐓𝐈𝐀𝐃𝐀 𝐊𝐄𝐔𝐙𝐔𝐑𝐀𝐍 𝐃𝐀𝐑𝐈 𝐅𝐔𝐐𝐀𝐇𝐀 𝐌𝐔𝐓𝐀𝐊𝐀𝐃𝐃𝐈𝐌𝐈𝐍 𝐀𝐓𝐀𝐔 𝐌𝐔𝐓𝐀𝐀𝐊𝐇𝐈𝐑𝐈𝐍 𝐖𝐀𝐋𝐀𝐔𝐏𝐔𝐍 𝐖𝐀𝐁𝐀𝐊 𝐓𝐀𝐔𝐍

Tiada pandangan daripada mana-mana fuqaha mutakaddimin mahupun mutaakhirin – yang sekian ramainya dan sekian banyaknya tulisan-tulisan mereka – yang menyatakan bahawa penularan taun dan wabak penyakit merupakan satu keuzuran untuk meninggalkan solat Jumaat dan solat berjemaah sedangkan peristiwa-peristiwa penularan taun dan wabak penyakit telah banyak kali berlaku sehinggakan pada zaman Kerajaan Umawiyah ia berlaku pada purata sekali untuk setiap empat tahun.
.

𝐊𝐄𝐌𝐔𝐒𝐘𝐊𝐈𝐋𝐀𝐍 𝐊𝐄𝐓𝐈𝐆𝐀 – 𝐏𝐄𝐑𝐁𝐄𝐙𝐀𝐀𝐍 𝐌𝐄𝐌𝐁𝐄𝐑𝐈 𝐊𝐄𝐋𝐎𝐍𝐆𝐆𝐀𝐑𝐀𝐍 𝐔𝐍𝐓𝐔𝐊 𝐓𝐈𝐍𝐆𝐆𝐀𝐋𝐊𝐀𝐍 𝐒𝐎𝐋𝐀𝐓 𝐉𝐄𝐌𝐀𝐀𝐇 𝐊𝐄𝐑𝐀𝐍𝐀 𝐊𝐇𝐔𝐀𝐓𝐈𝐑 𝐃𝐈𝐉𝐀𝐍𝐆𝐊𝐈𝐓𝐈 & 𝐌𝐄𝐍𝐆𝐔𝐍𝐂𝐈 𝐌𝐀𝐒𝐉𝐈𝐃 𝐁𝐀𝐆𝐈 𝐎𝐑𝐀𝐍𝐆 𝐘𝐀𝐍𝐆 𝐓𝐈𝐃𝐀𝐊 𝐊𝐇𝐔𝐀𝐓𝐈𝐑 𝐃𝐈𝐑𝐈𝐍𝐘𝐀 𝐃𝐈𝐉𝐀𝐍𝐆𝐊𝐈𝐓𝐈 𝐏𝐄𝐍𝐘𝐀𝐊𝐈𝐓

Perlu dibezakan antara memberi kelonggaran untuk meninggalkan solat Jumaat dan solat berjemaah buat mereka yang khuatir atas dirinya dijangkiti penyakit sekiranya ada sebab-sebabnya seperti mana yang ditetapkan oleh sebahagian fuqaha, dengan perbuatan mengunci masjid dan melarang orang ramai daripada solat Jumaat dan solat berjemaah, termasuk mereka yang tidak khuatir atas dirinya dijangkiti penyakit.

Kelonggaran ialah bagi mereka yang khuatir atas dirinya, bukan dengan menghalang mereka yang tidak khuatir atas dirinya.
.

𝐊𝐄𝐌𝐔𝐒𝐘𝐊𝐈𝐋𝐀𝐍 𝐊𝐄𝐄𝐌𝐏𝐀𝐓 – 𝐊𝐇𝐔𝐀𝐓𝐈𝐑 𝐃𝐈𝐉𝐀𝐍𝐆𝐊𝐈𝐓𝐈 𝐏𝐄𝐍𝐘𝐀𝐊𝐈𝐓 𝐀𝐃𝐀𝐋𝐀𝐇 𝐒𝐀𝐓𝐔 𝐊𝐄𝐋𝐎𝐍𝐆𝐆𝐀𝐑𝐀𝐍 𝐌𝐄𝐍𝐈𝐍𝐆𝐆𝐀𝐋𝐊𝐀𝐍 𝐉𝐄𝐌𝐀𝐀𝐇 𝐓𝐄𝐓𝐀𝐏𝐈 𝐁𝐀𝐆𝐀𝐈𝐌𝐀𝐍𝐀 𝐀𝐃𝐀 𝐏𝐈𝐇𝐀𝐊 𝐌𝐄𝐍𝐆𝐇𝐀𝐋𝐀𝐍𝐆 𝐎𝐑𝐀𝐍𝐆 𝐌𝐀𝐇𝐔 𝐒𝐎𝐋𝐀𝐓 𝐉𝐄𝐌𝐀𝐀𝐇 𝐁𝐀𝐆𝐈 𝐘𝐀𝐍𝐆 𝐓𝐈𝐃𝐀𝐊 𝐊𝐇𝐔𝐀𝐓𝐈𝐑?

Kenyataan sebahagian fuqaha bahawa kekhuatiran dijangkiti penyakit merupakan satu keuzuran untuk meninggalkan solat Jumaat dan solat berjemaah merupakan satu kelonggaran dan bukan larangan mutlak.

Dengan kata lain, keizinan untuk mereka yang khuatir atas dirinya dijangkiti penyakit untuk meninggalkan solat Jumaat dan solat berjemaah hanyalah satu keharusan dan bukan satu kewajipan.

Bagaimanakah pula dengan mereka yang tidak khuatir atas dirinya dijangkiti penyakit? Adalah lebih utama untuk mereka tidak meninggalkan solat Jumaat dan solat berjemaah, apatah lagi untuk pihak lain menghalang mereka.
.

𝐊𝐄𝐌𝐔𝐒𝐘𝐊𝐈𝐋𝐀𝐍 𝐊𝐄𝐋𝐈𝐌𝐀 – 𝐇𝐀𝐃𝐈𝐒 𝐌𝐄𝐍𝐘𝐄𝐁𝐔𝐓 𝐖𝐀𝐁𝐀𝐊 𝐒𝐄𝐁𝐀𝐆𝐀𝐈 ‘𝐑𝐀𝐇𝐌𝐀𝐓’ 𝐃𝐀𝐍 𝐒𝐀𝐇𝐀𝐁𝐀𝐓 𝐓𝐈𝐃𝐀𝐊 𝐌𝐄𝐍𝐈𝐍𝐆𝐆𝐀𝐋𝐊𝐀𝐍 𝐒𝐎𝐋𝐀𝐓 𝐉𝐄𝐌𝐀𝐀𝐇, 𝐌𝐀𝐋𝐀𝐇 𝐁𝐄𝐑𝐃𝐎𝐀 𝐁𝐀𝐇𝐀𝐆𝐈𝐀𝐍 𝐑𝐀𝐇𝐌𝐀𝐓 𝐓𝐄𝐑𝐒𝐄𝐁𝐔𝐓

Dalam hadis menyebutkan bahawa penyakit taun ialah “Rahmat buat orang-orang beriman”. Dan ini membuatkan sebahagian Sahabat seperti mana yang sabit daripada Abu Ubaidah r.a. dan Muaz bin Jabal r.a. berdoa kepada Allah dan meminta bahagian mereka daripadanya apabila tersebarnya penyakit taun di negeri Syam yang dikenali dengan Taun Amwas.

Memandangkan ia rahmat buat orang-orang beriman maka ini menyebabkan mereka tidak meninggalkan solat Jumaat dan solat berjemaah.
.

𝐊𝐄𝐌𝐔𝐒𝐘𝐊𝐈𝐋𝐀𝐍 𝐊𝐄𝐄𝐍𝐀𝐌 – 𝐊𝐄𝐘𝐀𝐊𝐈𝐍𝐀𝐍 𝐊𝐄𝐏𝐀𝐃𝐀 𝐀𝐋𝐋𝐀𝐇 (𝐓𝐀𝐖𝐀𝐊𝐀𝐋)

Berkumpulnya orang ramai di sesebuah tempat dan bercampur antara satu sama lain merupakan antara faktor tersebarnya wabak penyakit. Hanya sahaja ia tidak akan berlaku melainkan dengan izin Allah. Justeru dibolehkan melakukan perbuatan-perbuatan yang berisiko tinggi mendapat penyakit ini bagi individu yang yakin dengan Allah dan bertawakal kepadanya.

Dan ini maksud sabda Nabi “Tidak ada penyakit yang menular (dengan sendirinya)” dan jawapan balas baginda tentang pertanyaan bagaimana pula boleh berjangkitnya kudis daripada unta yang sakit kepada unta yang sihat apabila unta-unta itu dicampurkan dengan bersabda “Siapakah yang telah membuatkan unta yang pertama berkudis (iaitu dari mana ia mendapat jangkitan)?”.

Sebagaimana telah sabit daripada perbuatan sebahagian Sahabat yang melakukan perbuatan-perbuatan yang berisiko tinggi dan berbahaya seperti mana perbuatan Abdullah bin Omar r.a. makan bersama-sama orang yang berpenyakit kusta kerana yakin dengan Allah dan bertawakal kepadanya.
.

𝐊𝐄𝐌𝐔𝐒𝐘𝐊𝐈𝐋𝐀𝐍 𝐊𝐄𝐓𝐔𝐉𝐔𝐇 – 𝐇𝐀𝐃𝐈𝐒 𝐔𝐍𝐓𝐀 𝐘𝐀𝐍𝐆 𝐒𝐀𝐊𝐈𝐓 𝐁𝐄𝐑𝐂𝐀𝐌𝐏𝐔𝐑 𝐃𝐄𝐍𝐆𝐀𝐍 𝐔𝐍𝐓𝐀 𝐘𝐀𝐍𝐆 𝐒𝐈𝐇𝐀𝐓 𝐁𝐄𝐑𝐌𝐀𝐊𝐒𝐔𝐃 𝐀𝐏𝐀𝐁𝐈𝐋𝐀 𝐒𝐀𝐊𝐈𝐓 𝐃𝐈𝐓𝐄𝐆𝐀𝐇 𝐔𝐍𝐓𝐔𝐊 𝐁𝐄𝐑𝐒𝐀𝐌𝐀 𝐎𝐑𝐀𝐍𝐆 𝐘𝐀𝐍𝐆 𝐒𝐈𝐇𝐀𝐓

Hadis seperti “Jangan memudaratkan dan tidak boleh membalas kemudaratan dengan kemudaratan”, larangan orang makan bawang mendatangi masjid serta hadis “Jangan dicampurkan unta yang sakit dengan unta yang sihat” hanya tepat untuk dijadikan sebagai hujah bagi menghalang orang yang terkena penyakit daripada mendatangi solat Jumaat dan solat berjemaah.

Ia bukan hujah untuk menghalang orang yang sihat atau orang yang tiada tanda-tanda penyakit, apatah lagi menjadikannya sebagai dalil untuk mengunci masjid dan melarang orang ramai daripada solat di dalamnya.
.

𝐊𝐄𝐌𝐔𝐒𝐘𝐊𝐈𝐋𝐀𝐍 𝐊𝐄𝐋𝐀𝐏𝐀𝐍 – 𝐎𝐑𝐀𝐍𝐆 𝐘𝐀𝐍𝐆 𝐒𝐈𝐇𝐀𝐓 𝐁𝐎𝐋𝐄𝐇 𝐁𝐄𝐑𝐆𝐀𝐔𝐋 𝐃𝐄𝐍𝐆𝐀𝐍 𝐎𝐑𝐀𝐍𝐆 𝐒𝐀𝐊𝐈𝐓 𝐉𝐈𝐊𝐀 𝐘𝐀𝐊𝐈𝐍 𝐃𝐀𝐍 𝐓𝐀𝐖𝐀𝐊𝐀𝐋 𝐃𝐄𝐍𝐆𝐀𝐍 𝐀𝐋𝐋𝐀𝐇

Terdapat dalam hadis “Jangan dicampurkan unta yang sakit dengan unta yang sihat” larangan atas orang yang sakit bercampur gaul dengan orang yang sihat kerana ia antara sebab-sebab yang boleh mendatangkan mudarat atas orang yang sihat serta mengganggunya. Hadis ini sama sekali bukan bermakna melarang orang yang sihat daripada bercampur gaul dengan orang yang sakit.

Justeru jika orang yang sihat mahu bercampur gaul dengan orang yang sakit atas dasar yakin dengan Allah dan bertawakal kepadanya maka dia tidak boleh dihalang, dan tiada petunjuk dalam hadis ini yang melarangnya.
.

𝐊𝐄𝐌𝐔𝐒𝐘𝐊𝐈𝐋𝐀𝐍 𝐊𝐄𝐒𝐄𝐌𝐁𝐈𝐋𝐀𝐍 – 𝐇𝐔𝐊𝐔𝐌 𝐌𝐄𝐑𝐀𝐖𝐀𝐓 𝐏𝐄𝐍𝐘𝐀𝐊𝐈𝐓 𝐀𝐃𝐀𝐋𝐀𝐇 𝐇𝐀𝐑𝐔𝐒 𝐁𝐔𝐊𝐀𝐍 𝐖𝐀𝐉𝐈𝐁

Wabak ialah sebahagian daripada penyakit-penyakit yang ada manakala mendapatkan rawatan untuk penyakit bukanlah suatu yang wajib di sisi majoriti para Sahabat dan ulama. Justeru dibolehkan untuk tidak mendapatkan rawatan atas dasar yakin kepada Allah dan bertawakal kepadanya memandangkan bahawa sebab-sebab kesembuhan bukanlah hanya dengan cara berubat. Malah berdoa, meruqyah dan amalan soleh jauh lebih bermanfaat daripadanya.

Ibnu Taimiyyah menjelaskan “Berubat bukanlah suatu yang wajib. Dan barang siapa mempertikaikannya nescaya aku akan berhujah atasnya dengan as-Sunah... Aku tidak tahu sesiapa daripada kalangan Salaf yang mewajibkan berubat.”

Adapun hadis “Berubatlah wahai hamba Allah” ia menjurus kepada hukum harus atau anjuran, dan bukan wajib.

Sekiranya telah jelas bahawa berubat bukan suatu yang wajib atas orang yang sakit atau orang yang terkena penyakit maka tidak mewajibkan atas orang yang sihat menghindari orang yang sakit atas dasar yakin dengan Allah dan bertawakal kepadanya lebih utama, apatah lagi bercampur gaul dengan orang yang sihat yang tidak nampak padanya sebarang tanda-tanda penyakit.
.

𝐊𝐄𝐌𝐔𝐒𝐘𝐊𝐈𝐋𝐀𝐍 𝐊𝐄𝐒𝐄𝐏𝐔𝐋𝐔𝐇 – 𝐌𝐄𝐍𝐆𝐔𝐍𝐂𝐈 𝐃𝐀𝐍 𝐌𝐄𝐋𝐀𝐑𝐀𝐍𝐆 𝐊𝐄 𝐌𝐀𝐒𝐉𝐈𝐃 𝐀𝐃𝐀𝐋𝐀𝐇 𝐈𝐒𝐔 𝐁𝐄𝐒𝐀𝐑 𝐃𝐀𝐍 𝐒𝐄𝐍𝐒𝐈𝐓𝐈𝐅

Tidak diketahui dalam sejarah Islam bahawa masjid-masjid pernah dikunci dan orang ramai dilarang daripada solat di dalamnya. Justeru perkara ini tidak boleh diambil mudah, malah ia merupakan isu yang sangat besar dan sensitif.
.

𝐊𝐄𝐌𝐔𝐒𝐘𝐊𝐈𝐋𝐀𝐍 𝐊𝐄𝐒𝐄𝐁𝐄𝐋𝐀𝐒 – 𝐁𝐄𝐑𝐇𝐈𝐌𝐏𝐔𝐍 𝐃𝐀𝐋𝐀𝐌 𝐌𝐀𝐒𝐉𝐈𝐃 𝐀𝐃𝐀𝐋𝐀𝐇 𝐒𝐄𝐁𝐀𝐁-𝐒𝐄𝐁𝐀𝐁 𝐁𝐀𝐋𝐀 𝐃𝐈𝐀𝐍𝐆𝐊𝐀𝐓

Berhimpunnya orang-orang Islam dalam masjid dan berkumpulnya mereka di dalamnya merupakan antara sebab-sebab utama bala bencana diangkat, lebih-lebih lagi setelah diketahui bahawa antara hikmah di sebalik Allah mendatangkan taun dan wabak penyakit ialah supaya manusia kembali kepada Tuhan dan bertaubat kepadanya. Adapun masjid, ia merupakan tempat untuk orang Islam solat, bertaubat dan berdoa meminta supaya dihilangkan bala bencana di samping memperoleh keberkatan berkumpul mengerjakan ketaatan.

Justeru berkumpulnya orang-orang Islam untuk solat dan berdoa merupakan antara sebab utama mendapat kesembuhan serta dihilangkan mudarat.

Atas sebab ini disyariatkan umat Islam berkumpul apabila berlakunya suatu yang menggemparkan dengan disyariatkan solat Gerhana secara berjemaah, solat Istisqaa apabila berlaku kemarau dan musim kering manakala sebahagian pendapat menyatakan bahawa disyariatkan solat sunat secara berjemaah apabila berlaku gempa bumi sebagaimana yang dilakukan oleh Ibnu Abbas dalam satu riwayat.

Adapun dalam solat Hari Raya, Nabi memerintahkan supaya kaum Muslimin di sesebuah tempat supaya berkumpul dan mengerjakannya secara berjemaah manakala perempuan yang haid turut diperintahkan hadir agar dapat “Menyaksikan kebaikan dan dakwah kaum Muslimin.”
.

𝐊𝐄𝐌𝐔𝐒𝐘𝐊𝐈𝐋𝐀𝐍 𝐊𝐄𝐃𝐔𝐀 𝐁𝐄𝐋𝐀𝐒 – 𝐁𝐄𝐙𝐀 𝐋𝐀𝐍𝐆𝐊𝐀𝐇 𝐁𝐄𝐑𝐉𝐀𝐆𝐀 𝐒𝐄𝐌𝐀𝐒𝐀 𝐒𝐎𝐋𝐀𝐓 𝐁𝐄𝐑𝐉𝐄𝐌𝐀𝐀𝐇 𝐒𝐄𝐏𝐄𝐑𝐓𝐈 𝐌𝐄𝐌𝐀𝐊𝐀𝐈 𝐓𝐎𝐏𝐄𝐍𝐆 𝐌𝐔𝐊𝐀 𝐃𝐀𝐍 𝐏𝐄𝐍𝐂𝐄𝐆𝐀𝐇𝐀𝐍 𝐃𝐀𝐓𝐀𝐍𝐆 𝐊𝐄 𝐌𝐀𝐒𝐉𝐈𝐃 𝐔𝐍𝐓𝐔𝐊 𝐁𝐄𝐑𝐉𝐄𝐌𝐀𝐀𝐇

Perlu dibezakan antara ‘pencegahan dalam’ solat Jumaat dan solat berjemaah dengan ‘pencegahan daripadanya’.

Pencegahan dalam solat Jumaat dan solat berjemaah tiada masalah, seperti mewajibkan orang ramai memakai penutup mulut dan hidung (face mask), membasuh tangan sebelum masuk masjid dan seumpamanya.
Adapun melarang mereka solat Jumaat dan solat berjemaah serta mengunci masjid, ia merupakan ‘pencegahan daripadanya’. 
.

𝐊𝐄𝐌𝐔𝐒𝐘𝐊𝐈𝐋𝐀𝐍 𝐊𝐄𝐓𝐈𝐆𝐀 𝐁𝐄𝐋𝐀𝐒 – 𝐁𝐄𝐙𝐀 𝐁𝐄𝐑𝐊𝐔𝐌𝐏𝐔𝐋 𝐌𝐀𝐒𝐉𝐈𝐃 𝐔𝐍𝐓𝐔𝐊 𝐉𝐄𝐌𝐀𝐀𝐇 (𝐀𝐋𝐋𝐀𝐇 𝐒𝐔𝐊𝐀) 𝐃𝐀𝐍 𝐁𝐄𝐑𝐊𝐔𝐌𝐏𝐔𝐋 𝐃𝐈 𝐏𝐀𝐒𝐀𝐑 (𝐀𝐋𝐋𝐀𝐇 𝐁𝐄𝐍𝐂𝐈)

Mengiaskan antara masjid dengan pasar sebagai tempat tersebarnya wabak penyakit kerana orang ramai berkumpul dalamnya merupakan seburuk-buruk kias.

Ini kerana ia menyamakan antara tempat yang paling dicintai Allah (masjid) dan tempat yang paling dibencinya (pasar), tempat turunnya rahmat dengan tempat turunnya azab, tempat ketaatan dengan tempat kemaksiatan dan tempat berhimpunnya malaikat dengan tempat berhimpunnya syaitan.

Demikian sebahagian kemusykilan yang perlu dihuraikan oleh badan-badan berkenaan bagi meleraikan persoalan-persoalan yang timbul agar kesudahannya mereka yang sesat akan sesat berdasarkan keterangan dan penjelasan (yang telah diberikan) manakala mereka yang selamat akan selamat berdasarkan keterangan dan penjelasan (yang telah diberikan).

Wallahualam.
.

𝐂𝐚𝐭𝐚𝐭𝐚𝐧:
Terjemahan dengan sedikit olahan daripada tulisan Faisal bin Qazzar al-Jasim

#Just_say_Alhamdulillah

Tiada ulasan:

Catat Ulasan